Utusan Malaysia
20/6/2013
20/6/2013
PUTRAJAYA 19 Jun - Penyerahan dua buah Kedai
Rakyat 1Malaysia (KR1M) untuk diuruskan sepenuhnya oleh Koperasi
Penjawat Awam 1Malaysia (KPA1M) dilihat mampu memberi manfaat besar
kepada ahli koperasi tersebut.Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk
Hasan Malik berkata, kedai itu bukan sahaja dapat mengukuhkan lagi dana
koperasi itu tetapi juga memberi peluang kepada penjawat awam dan orang
ramai membeli barangan keperluan pada harga murah.
"Penyerahan KR1M di Presint 16 merupakan yang kedua selepas KR1M
Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur kepada KPA1M yang ditubuhkan oleh
Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)."Saya difahamkan kedua-dua kedai terbabit telah menjana pendapatan
antara RM10,000 hingga RM12,000 sehari sejak ia diserahkan kepada KPA1M
awal bulan lalu," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan
KR1M kepada KPA1M di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden CUEPACS,
Datuk Omar Osman.
Sehubungan itu, Hasan berkata, sokongan penjawat awam amat penting
agar usaha murni CUEPACS itu dapat diteruskan dengan pembukaan tiga lagi
outlet KR1M. "Pada sambutan Hari Pekerja 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak mengumumkan lima buah KR1M akan diserahkan kepada koperasi. "Tiga lagi lokasi KR1M itu akan ditentukan berdasarkan permintaan ahli koperasi dan penjawat awam," katanya.