Jumaat, 9 Mac 2012

KOPERASI SEKTOR AWAM 1 MALAYSIA DITUBUHKAN

Utusan Malaysia
11/12/2012


PUTRAJAYA 8 Mac – Koperasi Sektor Awam 1Malaysia yang keanggotaannya terbuka kepada semua penjawat awam akan ditubuhkan untuk menambah pendapatan kumpulan pekerja tersebut.Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, keputusan tersebut dicapai hasil pertemuan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

‘‘Semua penjawat awam boleh menyertainya, Lembaga Pengarah koperasi buat masa ini akan dianggotai oleh pegawai tertinggi CUEPACS.‘‘Esok kita akan mengawal semua kantin di agensi-agensi kerajaan supaya ia dapat menjana pendapatan penjawat awam.‘‘Kita harus melakukan transformasi untuk tingkatkan kebajikan penjawat awam termasuk selepas mereka bersara,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini hari ini.

Hampir 15,000 penjawat awam dari seluruh negara telah memenuhi tiga dewan utama termasuk Dewan Plenari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk mendengar amanat Perdana Menteri.
Dalam majlis tersebut, Najib mengumumkan pembatalan struktur skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dengan mengembalikan semula Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.Berikutan pengumuman yang menggembirakan itu, Omar berharap, penjawat awam selepas ini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerja masing-masing.

‘‘Jangan lagi banyak aduan dan tidak berpuas hati di sana-sini,” katanya.Dalam pada itu, beliau berkata, CUEPACS akan turun padang menjelajah ke seluruh negara untuk memberi penerangan mengenai perkembangan terkini itu.