Selasa, 3 April 2012

MAMPU JADI KOPERASI MEWAH

Utusan Malaysia
ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan replika cek Bantuan Pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia kepada Omar Osman (dua dari kanan) di Menara SSM, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF


KUALA LUMPUR 3 April - Koperasi Penjawat Awam 1Malaysia Berhad (KPA1B) yang baru ditubuhkan bulan lalu mampu menyaingi pencapaian koperasi gergasi lain jika semua 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara menyertainya. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain mampu menjadi koperasi terbesar dengan bilangan ahli yang ramai, KPA1B berkeupayaan mengumpul modal besar.Ini kerana menurutnya, melalui yuran penyertaan minimum yang dikenakan RM10 untuk seorang penjawat awam, koperasi itu mampu mengumpul sebanyak RM14 juta.

''Saya percaya koperasi ini boleh mengumpul modal yang besar. Kalau bayaran yuran RM100, koperasi sudah dapat RM140 juta," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat Kesedaran Berkoperasi dan menyampaikan geran bantuan pembangunan RM100,000 daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada KPA1B, di sini hari ini.Turut hadir pada majlis itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang juga Pengerusi KPA1B Malaysia, Datuk Omar Osman.

Menurut Ismail Sabri, hasrat tersebut tidak mustahil dicapai sekiranya seluruh penjawat awam bekerjasama membangunkan koperasi berkenaan seperti diamalkan oleh kebanyakan penjawat awam di negara-negara maju. Di Singapura misalnya, kata beliau, koperasi awam lebih digeruni kerana menguasai pelbagai sektor perniagaan terutama bidang peruncitan menyebabkan pasar raya besar seperti Tesco dan Giant sukar bersaing dalam bidang berkenaan.

''Apa yang penting, untuk menyertai koperasi bukan untuk berhutang, ahli kena betulkan persepsi tersebut dan saya harap, pengurusan koperasi ini nanti diuruskan oleh tenaga profesional agar penubuhannya mencapai matlamat," kata beliau.